I made this widget at MyFlashFetish.com.

Photobucket

Isnin, 29 Disember 2008

salam ukhuwwah

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1430 H & MENGHADAPI SEMESTA BARU!!!!

..sebenir air wuduk,
sesuci al-quran,
semerdu alunan zikir,
seindah solat 5 waktu,
setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam,
jika wjh x sempat di tatap,
salam ma'al hijrah...

Selasa, 4 November 2008

Salam Imtihan Untuk Semua

Moga coretan saya ini mampu menjadi pembakar semangat untuk anda di musim peperiksaan ini. Saya doakan yang terbaik untuk semua. Apapun "SEGALANYA BERMULA DARI DIRI KITA" =)
Bit taufiq wannajah!

************************************
Hari ini masa saya ‘terbang’ lagi…

mmm…tinggal dua hari sahaja saya akan pulang ke bumi UKM, tetapi saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk peperiksaan.

Bukan kehendak saya. Kesihatan saya amat tidak mengizinkan saya untuk duduk setia menelaah kitab-kitab yang saya bawa dari UKM. Tapi belajar, tetap belajar. Saya paksa juga diri saya menelaah Nota dan buku Kajian Perbandingan Kitab Hadith, walau kadangkala terhenti-henti. Apabila saya tidak tahan, saya baring sebentar di atas katil, kemudian saya sambung lagi duduk diatas karpet bilik saya yang berselerak dengan kertas dan buku-buku. Tidak tahan dengan keadaan yang asyik baring dan duduk itu, akhirnya saya membuat keputusan mengalihkan semua bahan-bahan bacaan saya diatas katil queen size saya. Jadinya saya belajar sambil berbaring, tetapi akhirnya saya terlelap hingga jam 5.30 petang tadi!.Ya Allah…saya gagal lagi hari ini. Inilah dugaan saya. Semester ini saya agak slow sedikit dalam mengulangkaji pelajaran saya. Berat sungguh saya rasakan beban ini .

Sambung Belajar

Dalam saya cuba mengalihkan mata saya sekali lagi kepada nota-nota bacaan saya, terlintas dalam pemikiran saya kenapa saya sanggup belajar lagi. BELAJAR. Belajar dilihat sebagai satu perkara yang positif, menjana keilmuan diri manusia dan memperlihatkan betap tingginya keazaman seseorang untuk menghadapinya. Namun, ia juga dilihat sebagai satu perkara berat dan sukar untuk dipikul oleh seseorang. Macam saya pernah katakan pada post yang lalu bahawa peperiksaan cukup menyusahkan hidup saya. Maknanya belajar sebenarnya boleh menyusahkan hidup seseorang. Atas sebab itu, apabila saya mengambil keputusan untuk menyambung lagi pengajian saya setelah agak setahun lebih saya meninggalkannya, ramai yang terkejut. Lebih-lebih lagi pada waktu itu saya sudah berstatus isteri. Perjuangan saya agak cukup mencabar. Saya perlu meninggalkan suami saya yang baru setahun melayari bahtera rumahtangga bersama dan Saya perlu tinggalkan juga mak dan abah saya, yang sebenarnya banyak bergantung harap pada saya. Pahit dan perit. Itulah yang saya rasakan. Tetapi jika saya ikutkan keperitan dan kepahitan itu sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat mempertingkatkan diri saya.

Keputusan Peperiksaan Yang Pertama

Saya juga selalu berfikir kenapalah saya perlu menyusahkan diri saya, sedangkan saya sudah boleh hidup dengan senang disisi suami saya, mentelah lagi saya sudah mempunyai pekerjaan yang boleh menjamin keselesaan hidup saya dan keluarga. Bukankah lebih baik jika saya meneruskan kehidupan saya seperti 2 tahun yang lalu?tak perlulah saya berpenat-penat memerah otak dan stress dengan assignment dan exam.
Saya masih ingat lagi saat-saat awal saya menjadi pelajar universiti.Pada mulanya saya agak terkejut bila kembali ke dunia belajar. Saya amat tertekan.
Walaupun pada waktu itu, saya berusaha sedaya upaya saya untuk melakukan yang terbaik, saya tidak pernah mengharap untuk menjadi yang terbaik kerana saya faham bahawa saya mempunyai ramai saingan yang hebat-hebat. Mana mungkin saya mampu bersaing dengan mereka-mereka yang baru sahaja tamat STPM, STAM dan diploma. Ilmu mereka masih panas lagi. Sedangkan saya? Saya sudah terlalu lama meninggalkan ilmu-ilmu saya. Banyak perkara yang saya perlu ‘aktif’kan kembali. Tetapi, keputusan peperiksaan saya pada semester pertama tahun satu agak memeranjatkan saya. Malah bukan saya sahaja tetapi suami saya. Apabila saya mengkhabarkan padanya melalui telefon bahawa saya mendapat 8A 1B, apa yang terpantul di bibirnya adalah

“bedeklah! (bohong, lah!)”

ehheeh…apabila saya mengarahkan dia sendiri yang memeriksa keputusan peperiksaan saya melalui laman web UKM, barulah suami saya percaya.

Sokongan Dan Dorongan

Daripada situ, saya berjaya membuktikan kepada suami saya bahawa saya memang benar-benar ‘boleh belajar lagi’ dan daripada keputusan peperiksaan yang pertama itulah telah menjadikan suami saya menjadi pendorong utama dan pertama sewaktu saya akan menghadapi peperiksaan. Kadang-kadang saya rasa ,saya seperti anak-anak sekolah menengah yang sering diingatkan bahawa saya perlu belajar sebab exam sudah tidak lama lagi!.Setiap kali pulang daripada kerja, suami saya akan bertanya “tadi study tak?”.hehe..itulah suami saya.




Dorongan dan sokongan itu penting sebenarnya. Namun, sebanyak mana kita didorong dan disokong, tetapi kita tidak mahu menjadikan dorongan dan sokongan itu sebagai kunci untuk melangkah lebih jauh pun tidak ada gunanya. Segalanya terpulang pada diri kita. Kalau kita hendak….kita pasti lakukan yang terbaik.kalau kita tak nak…buat macam manapun..tentu tidak akan menjadi.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantu kita…melainkan kita sendiri. Kalau boleh kita ingin sekali ada orang yang boleh membantu kita untuk menduduki peperiksaan ,tetapi itu adalah mustahil. Kita jugalah, yang perlu menduduki peperiksaan itu, bukan orang lain. Dengan itu, kita jugalah yang akan membentuk masa hadapan kita bukan orang lain. Orang lain hanya boleh menjadi pendorong dan penyokong kita tetapi untuk merealisasikannya adalah diri kita sendiri.

DIRI KITA adalah pendorong utama kita untuk mencapai kejayaan. Jangan hanya bergantung pada sesuatu yang ‘sederhana’ sahaja atau 'ala kadar' sahaja kerana kita orang melayu jangan melayukan diri kita. Kita perlu tanamkan dalam diri, bahawa kita adalah MELAYU MUSLIM, dan seharusnya melayu muslim perlu lebih cemerlang dari yang lain. Saya teringat kata-kata ketua pustakawan kepada seorang rakan saya yang menerima anugerah pencinta ilmu, katanya:

“Kalau di FPI (Fakukti Pengajian Islam) ada orang cina, saya rasa orang cina jugalah yang akan menerima anugerah ini”

Saya tersenyum lalu melihat senarai nama penerima anugerah. Memang benar, hanya 4 orang sahaja pelajar melayu yang mendapat anugerah tersebut, yang selebihnya adalah pelajar cina.Saya tersenyum lagi lalu berkata pada diri, “saya melayu tetapi tidak melayu kerana saya melayu muslim yang ingin sentiasa menjadikan agama saya sebagai panduan hidup saya”

Ketahuilah seorang muslim itu, perlu menjadi umat nabi Muhammad s.a.w yang berusaha untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.Tetapi kadangkala sering berlaku, mereka yang hanya mementingkan salah satu diantaranya. Sedangkan keduanya itu berjalan serentak.

Kita ingin berjaya?
Segalanya bermula dengan diri kita..bukan orang lain.

(Penulisan ini telah dimuatkan di dalam blog umairah-sh bertarikh 24 Oktober 2007)

Isnin, 3 November 2008

Tafsir - Pelbagai jenis dan syaratnya

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

TAFSIR al-Quran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:

1. Mengikut masa l Tafsir zaman sahabat. Terdapat sahabat yang mentafsir al-Quran seperti Abu Bakar, Umar, Aisyah dan terutamanya Abdullah Ibn Abbas. Ini kerana berkat doa Rasulullah s.a.w. kepadanya ketika dilahirkan, di samping kesungguhan dan kesabarannya dalam menimba ilmu sehingga dikenali sebagai Turjuman al-Quran, juga dikenali dengan Habr al-Ummah. Katanya Demi Allah, kalau kamu tanyakan makna-makna ayat dalam al-Quran apa maksudnya, di mana diturunkan dan segala maksudnya nescaya aku akan menjawab untukmu.

* Tafsir zaman tabiin seperti Said bin Jubair yang banyak meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Masud, Ibn Umar, Abu Hurairah dan lain-lain. Dikatakan Abu Ubaidah Ma'mar bin al-Muthanna, perintis pertama dalam pembukuan tafsir yang dinamakan al-Majaz Fi al-Quran al-Karim pada tahun 188H.

* Tafsir zaman selepas Tabi' at-Tabiin atau golongan kemudian. Seperti Ibn Jarir (310H) dengan tafsirnya Jami' al-Bayan Fi Tafsir al-Quran, al-Zamakhsyari dengan tafsirnya al-Kasyfu `an Haqaiq al-Tanzil Wa `Uyun al-Aqawil Fi Wujuh al-Ta'wil dan lain-lain.

2. Cara tafsiran

* Tafsir al-Quran dengan al-Quran.

* Tafsir al-Quran dengan hadis, terutamanya yang sahih dan mutawatir.

* Tafsir al-Quran dengan pendapat sahabat.

* Tafsir al-Quran dengan bahasa dan sastera.

3. Sumber tafsiran

* Tafsir dengan ma'thur dikenali juga tafsir riwayat.

* Tafsir dengan ra'yi (akal).

Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya Fath al-Qadir (1 / 12) membahagikan dua cara ahli tafsir :

* Terikat dengan riwayat.

* Mengembangkan tafsir kepada aspek bahasa dan ilmu-ilmu alat yang lain.

Ulama sepakat menerima tafsir dengan ma'thur dan beramal. Ibn Kathir berkata dalam mukadimah tafsirnya (1 / 3) - Jika kami tidak mendapati tafsir dalam al-Quran dan juga sunah, kami akan kembali kepada pendapat sahabat kerana mereka lebih mengetahui dengan penyaksian dan hal ehwal mereka ketika turunnya ayat.

Ijtihad

Antara kitab-kitab tafsir mathur : Jami' al-Bayan - Ibn Jarir at-Tabari, Al-Kashfu Wa al-Bayan - ath-Tha'alabi, Ma'alim at-Tanzil - Abu Muhammad al-Husain bin Masud al-Baghawi, Ad-Durru al-Manthur - Jalaludin as-Suyuti, Tafsir al-Quran al-'Azim - Abu al-Fida' Ismail Ibn Kathir.

Adapun tafsir ar-Ra'yi yang dibina atas asas akal dan ijtihad para ulama berkhilaf hukum keharusannya. Ada yang menyokongnya dan ada yang mencegahnya. Imam al-Ghazali dan ar-Raghib al-Asfahani menganggap khilaf ini bersifat lafzi bukan hakiki, justeru tidaklah menjadi masalah beramal dengan tafsir ra'yi tetapi disyaratkan dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ulama. (Lihat Tafsir Bi ar-Ra'yi, Dr. Hamad al-Zaghlul hal 107-115).

Walaupun begitu kalau ditafsirkan al-Quran semata-mata dengan akal, hukumnya haram seperti nas hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas - sabda Rasulullah s.a.w. : Sesiapa yang berkata tentang al-Quran tanpa ilmu, nescaya disediakan tempatnya daripada neraka. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Antara tafsir ar-Ra'yi ialah: Madarik at-Tanzil oleh Imam Abdullah bin Ahmad an-Nasafi, Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta'wil oleh Al-Baidhawi, Lubab at-Ta'wil oleh Al-Khazin, Ruh al-Ma'ani oleh Al-Alusi, Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib oleh Al-Fakhr al-Razi.

4. Ada juga ulama membahagikan tafsir mengikut subjek, seperti berikut :

* Tafsir Tahlili.

* Tafsir Al-Mathur.

*Tafsir Alr-Ra'yi.

* Tafsir As-Sufi.

Ibn as-Salah dalam `fatawanya' menyatakan ``Aku dapati daripada Imam Abi al-Hasan al-Wahidi ahli tafsir berkata : Telah mengarang Abu Abdul Rahman as-Sulami - Haqaiq at-Tafsir dan jika dia beriktikad begitu maka hukumnya kafir. Justeru an-Nasafi berkata dalam akaidnya, ``Segala nas-nas mengikut zahirnya dan berpaling daripadanya kepada mana-mana yang didakwa oleh ahli batin termasuk dalam ilhad.

At-Taftazani menyatakan, dinamakan Malahidah (golongan mulhid) dengan batiniah kerana dakwaan mereka bahawa segala nas-nas bukan mengikut zahirnya, tetapi mempunyai makna-makna batiniah yang tidak diketahuinya kecuali guru, matlamat mereka menafikan syariah semuanya. Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani berkata : Adapun ucapan ahli tasawuf tentang al-Quran, ia termasuk dalam isyarat kepada kehalusan-kehalusan yang terdedah kepada golongan ini, dan mungkin dilaksanakan antaranya dan zahir yang dikehendaki, inilah kesempurnaan iman dan sebenar-benar makrifat. Mereka beriktikad bahawa yang zahir bukan kehendak tetapi batin sahaja, sebenarnya termasuk iktikad batiniah yang mulhid membawa kepada menafikan syariah semuanya, jauh sekali daripada tuan guru tasawuf kita terbabit seperti ini. Sedangkan kenyataan mereka : Tidak dapat tidak mesti daripada zahir per-tamanya, sesiapa yang sangka sampai kepada faham rahsia
al-Quran sebelum hukum-hukum tafsir samalah seperti yang mendakwa sampai ke dalam rumah sebelum masuk pintu lagi.

Menafikan

Secara umumnya tafsir sufi dibolehkan dengan syarat-syarat :

* Jangan menafikan bagi zahir al-Quran.

* Mempunyai dalil syarak yang menyokongnya.

* Tidak bertentangan dengan syarak dan akal.

* Jangan mendakwa bahawa yang dikehendaki itu sahaja tanpa yang zahir tetapi mesti mengiktiraf yang zahir seperti dinaskan oleh al-Alusi.

Antara tafsir tasawuf ialah: Tafsir al-Quran al-Azim oleh al-Imam at-Tusturi (383H), Haqaiq at-Tafsir oleh al-Allamah as-Sulami (412H), `Arais al-Bayan Fi Haqaiq al-Quran oleh as-Shirazi (606H), Tafsir Al-Fiqhi, Tafsir Al-Falsafi, Tafsir Al-Ilmi (sains).

Era teknologi terkini dengan ciptaan-ciptaan moden serta penemuan-penemuan hukum sains baru, adalah dibolehkan al-Quran dimasukkan dalam bidang ilmu ini bagi menyatakan bahasa sains dan al-Quran tidak bertentangan tetapi seiring.

Mengenai hukum mentafsir al-Quran dengan sains atau sebaliknya, ulama telah khilaf antara yang menyokong dan menentangnya. Antara yang menentang ialah Imam al-Azhar Syeikh Mahmud Syaltut dengan berhujah, ia boleh membawa kepada pemikiran yang tidak dikehendaki oleh al-Quran. Ini kerana Allah tidak menurunkannya bermatlamatkan teori-teori ilmu sains dan perkara-perkara seni. Kerana teori boleh berubah sedangkan al-Quran bersifat thabit dan tetap. Justeru selayaknya ditinggalkan al-Quran sebagai kitab suci dengan keagungannya. Lihat Mukadimah Tafsir Syaltut halaman 11-14.

Pendapat

Sependapat dengan Syeikh Syaltut ialah Syeikh Amin al-Khauli yang menaqalkan pendapat Imam as-Shatibi, inilah juga pendapat Imam Akbar Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh al-Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Abdullah Masud, Syeikh Abu Bakar Zikri dan termasuk juga pengarang Zilal al-Quran as-Shahid Syed Qutb.

Antara yang menyokongnya pula Imam al-Ghazali melalui kitab tafsirnya - Jawahir al-Quran yang dikarang selepas Ihya', kerana berhujah segala ilmu daripada Allah, mengikuti pendapat ini Ibn Abi al-Fadl al-Mursi yang dinyatakan oleh as-Suyuti dalam Itqan 4 / 27-31.

Pandangan yang rajih

Dengan mengamati hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, al-Qardhawi menyeru pa-
ra ulama kepada beberapa perkara :

* Keperluan mengkaji keutamaan ilmu-ilmu ini apabila mencakupi kefahamannya, sudah tentu lebih mudah untuk berkhidmat menjelaskan makna-makna al-Quran.

* Kesedaran golongan pakar dalam ilmu yang tidak disedari oleh golongan lain.

* Mensyaratkan penggunaan sains dalam tafsir seperti kepakaran, tidak menyusahkan, meraikan bahasa al-Quran, menjauhkan daripada tuduhan semua umat jahil dan beberapa syarat lagi.(Lihat Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 379-385).
Mengenai perbezaan mukjizat sains dalam al-Quran dengan tafsir sains, mengikut al-Qardhawi, pada kedua-duanya terdapat perbezaan, iaitu mukjizat sains dalam al-Quran lebih sempit berbanding tafsir sains atau ilmu ini. Justeru itu Rabitah al-'Alami al-Islami menubuhkan satu badan dinamakan Badan Ilmiah Alam Bagi Mukjizat al-Quran. Antara yang terlibat secara langsung seperti Syeikh Abdul Majid az-Zandani, Profesor Dr. Zaghlul an-Najjar dan lain-lain.
Selain tafsir-tafsir yang disebut tadi ada juga Tafsir Al-Adabi, Tafsir Ijmali, Tafsir Muqaran (perbandingan) dan Tafsir Maudhu'i.

Pendirian

Tafsir Maudhu`i ini seperti mengambil satu-satu tajuk untuk dikaji seperti kejadian langit, manusia atau lain-lain. Dr. Muhammad al-Bahi dalam kitabnya Nahwa al-Quran halaman 89 menjelaskan seperti berikut - seperti menjadikan al-Quran dalam perlembagaan masyarakat atau pendirian al-Quran terhadap madiah atau menyelesaikan kehendak surah.
Mengikut Ibn Jarir at-Tabari, dengan sanadnya kepada Ibn Abbas, tafsir terdapat empat bahagian :

* Difahami oleh orang arab.

* Tafsir yang tidak diuzur seorang pun dengan kejahilannya.

* Tafsir yang hanya diketahui ulama.

* Tafsir yang tidak diketahui kecuali Allah. Lihat Mukadimah Tafsir at-Tabari 1 / 75.

* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Khamis, 23 Oktober 2008

Umat Islam dibelenggu pelbagai fitnah

Ustaz Zainudin Hashim
Thu | Oct 23, 08 | 11:49:31 am MYT

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).
Iklan




Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hdinya yang bermaksud : �Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit.� Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu �ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1- Fitnah melalui kepimpinan negara. 2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan. 3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian. 4- Fitnah melalui ungkapan. 5- Fitnah melalui penulisan. 6- Fitnah melalui iklan produk. 7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan. 8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid. 9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat. 10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah�..oh fitnah�..dan banyak lagi.

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah �Negara Islam�, sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.

5- Fitnah melalui penulisan.

Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.

6- Fitnah melalui iklan produk.

Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu �ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.

Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.

Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT. _

Jumaat, 10 Oktober 2008

:: 7 TANDA ANDA AKAN GAGAL DI UNIVERSITI ::


OLEH : Amin Idris

Apakah kayu ukur sebenar kejayaan seorang graduan universiti? Adakah dengan hanya memperoleh segulung ijazah? Mentaliti majoriti ialah CGPA atau pointer 3.5 ke atas. Soalnya, adakah mereka yang 3.5 ke bawah benar-benar GAGAL? Dan adakah mereka yang 3.5 ke atas benar-benar BERJAYA?

Tahap pelajar di universiti bukanlah seperti di sekolah iaitu segala urusan kita diatur dan disusun. Bila hari Ahad (Kelantan, Terangganu dll) atau Isnin, semua pelajar di kehendaki beratur untuk perhimpunan mingguan. Kerja pelajar ialah ke sekolah dan belajar.

Kemudian ‘memuntahkannya’ semula dalam peperiksaan. Mereka yang paling banyak ‘A’, maka merekalah yang berjaya.

Universiti? Apa bezanya belajar di universiti jika kenyataan di atas sama dengan apa yang berlaku di universiti. Jadi, saya cukup tertarik dengan satu entri dari seorang sahabat yang seorang trainer yang sedang meningkat naik; Tuan Osman Affan. Di bawah saya paparkan entri beliau bertajuk

‘7 Tanda Anda akan Gagal di Universiti’

Kali ini mesej tulisan saya mungkin agak berbeza. Saya sebenarnya tidak berapa suka bercerita tentang perkara dalam bentuk negatif kerana ia akan mempengaruhi cara saya berfikir nanti. Namun, kali ini cara bercerita begini adalah perlu memandangkan beberapa situasi yang saya kerap lihat di universiti.

Sejak tahun 2005, saya sudah aktif menjalankan program-program motivasi dan teknik belajar di peringkat universiti. Apa yang saya lihat ialah memang ada pelajar yang tergolong dalam pelajar yang berdisiplin, cemerlang dan bercita-cita tinggi. Namun realitinya, lebih ramai lagi sebenarnya pelajar di universiti yang berfikiran negatif, malas, tidak ada cita-cita, terlalu selesa, tidak yakin diri, tidak mahu mencuba, lemah semangat, takut gagal dan sebagainya lagi.

Situasi ini semua menimbulkan rasa bimbang dan tidak senang dalam hati saya. Generasi pelajar di universiti sekarang ini adalah generasi yang akan membentuk dan memimpin negara kita dalam 10 hingga 20 tahun akan datang, generasi yang bakal memimpin anak-anak saya. Tetapi layakkah mereka menerajui negara jika majoritinya masih sukar untuk bangun pagi jika tidak dikejut atau dipaksa? Layakkah mereka jika bila lihat buku tebal sedikit pun sudah lemah semangat? Lebih membimbangkan lagi, layakkah mereka jika mereka diberi cabaran lalu mengalah, menarik diri dan langsung tidak mahu mencuba?

Telah beberapa hari saya duduk seorang diri mengkaji semula semua pengalaman dan situasi yang saya temui ketika berhadapan dengan pelajar di universiti. Setelah saya senaraikan semua masalah yang pernah saya temui, saya senaraikan 7 tanda-tanda seseorang pelajar mungkin GAGAL di universiti.

GAGAL bukan hanya bermaksud gagal mendapat segulung ijazah. Jika anda ada tanda-tanda ini, anda mungkin masih boleh hadiri hari graduasi tetapi anda

* Gagal menjadi orang berilmu.
* Gagal menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi.
* Gagal menjadi seorang yang berkarisma dan boleh dihormati.
* Gagal menyerlah.
* Gagal memenuhi potensi sebenar diri sendiri.
* Gagal mencapai cita-cita sebenar.
* Gagal mencapai kejayaan dan kebahagiaan yang pernah diimpikan.
* Gagal mengejar kekayaan.
* Gagal dalam memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
* Gagal menjadi contoh yang baik kepada orang-orang disekeliling.

Senarai kegagalan itu tidak akan habis agaknya jika difikirkan berterusan.

Jika anda sakit dan pergi berjumpa doktor, tentu doktor akan cuba mencari tanda-tanda atau simptom penyakit yang anda ada. Jika anda ada beberapa tanda sekaligus untuk penyakit demam denggi contohnya, sudah hampir pasti anda sedang mengidap penyakit tersebut.

Sama seperti tanda-tanda yang bakal saya kongsikan ini. Jika anda ada lebih daripada 2 atau 3 anda, lebih anda lakukan sesuatu. Jika tidak, tentu orang lain akan dapat meneka apakah kesudahan anda di universiti iaitu……. GAGAL!

Sumber: www.motivasibelajar.com

Ahad, 5 Oktober 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

KEPADA WARGA JANNAH

Isnin, 15 September 2008

Jika Ibu Tua Itu Ibu Anda



PERTEMUAN PERTAMA

“Doakan makcik,ye ustazah. Doakan,ye?”, tangan saya digenggamnya erat. Wajah sayunya merenung saya dengan penuh harapan. Saya menghadiahkannya dengan senyuman dan menganggukkan kepala saya.

Kemudian dia berlalu pergi ke saf pertama dewan solat wanita lalu mengangkat takbir untuk bersolat sunat. Saya sebenarnya masih kehairanan. Mengapa begitu sekali?. Mmmm…mungkin kami baru sahaja selesai bertadarus bersama dan mungkin ada perkara yang telah menerjah ke fikirannya.

PERTEMUAN KELIMA

Bacaan al-Qurannya merangkak-rangkak. Kadangkala dia sendiri tidak begitu pasti dengan bacaannya walaupun sebenarnya apa yang dibacanya adalah betul. Tetapi saya selalu mengatakan:

“Tak pe,cik. Teruskan…..”

Apa yang saya kagumi adalah semangatnya untuk terus bersama-sama dengan yang lain mengalunkan ayat-ayat al-Quran walaupun dia mengetahui bacaanya tidak berapa lancar. Ditolak tepi perasaan malu dan diletakkan di hadapannya keinginan untuk terus mengaji al-Quran dan merebut pahala. Subhanallah!

Semasa saya sedang sibuk mengagihkan bubur Ramadhan di dewan solat wanita selepas solat asar. Dia datang menghampiri saya. Saya seperti biasa menghadiahkannya dengan senyuman saya.

“Nak bubur,cik? Cik nak berapa?”, tanya saya kepadanya.

“Eh,cik tak nak bubur. Cik nak salam ustazah. Cik nak balik ni. Nanti amik bubur tak de orang nak makan kat rumah”, jelasnya. Salaman tangannya masih kuat menggenggam erat jari-jemari saya, lalu dia berkata:

“Ustazah, betul tadi ustazah cakap. Kita kena bersyukur Allah beri kelapangan pada kita datang masjid, mengaji al-Quran. Ni cik dah tua-tua macam ni, baru ada kesempatan. Alhamdulillah”, selepas tadarus saya ada memberikan sedikit tazkirah berdasarkan beberapa ayat al-Quran yang kami baca sebelum itu.

Saya senyum dan mengangguk-anggukkan kepala saya.

“ Saya nak ada anak soleh yang boleh mendoakan saya. Tapi sorang pun anak-anak saya tak ada yang menjadi. Anak cik sorang baru balik azhar (universiti al-Azhar,Mesir) tapi balik dia tak minat nak mengajar. Dia masuk bidang lain, kerja kat bank pulak. Dia jelah yang cik harap, tapi jadi macam ni pulak. Cik Kecewa sangat”, luahnya tanpa saya minta.

“Cik, jangan cakap kecewa,cik. Doalah lah banyak-banyak”, saya cuba menenangkan perasaan seorang tua yang terlalu kecewa.

“Cik bukan apa. Cik sedih. Dia lah sorang yang cik harapkan. Cik nak anak cik jadi ustazah, mengajar. Jadi macam ustazah ni. Boleh doakan cik. Ni balik-balik cik jugak yang membebel kat dia. Sedih hati,cik”

“Insya Allah, cik. Tentu anak cik doakan untuk cik juga. Mungkin cik tak tahu.”, saya menyedapkan hatinya.

“Doakanlah untuk anak cik, ustazah. Doakan dia dapat suami baik yang ingat akhirat. Dia susah lah, pakai pun nak fesyen-fesyen. Cik sayang, ilmu dia belajar kat azhar tak ke mana. Sayang ilmu dia, belajar jauh-jauh tapi tak sebarkan kat orang. Doakan untuk cik, ye?” genggaman salamnya yang masih kemas semakin kuat saya rasakan.

“Insya Allah, cik. Cik doalah banyak-banyak. Doa seorang ibu itu makbul,cik.”, pesan saya padanya.

KECEWA

“Cik Kecewa sangat”

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Wajahnya yang sayu juga masih lagi terbayang di mata saya. Genggaman tanganya pula masih hangat saya rasakan hingga kini. Dapat saya rasakan harapannya walaupun sudah meniti usia senja masih lagi belum tercapai. Harapan untuk melihat salah seorang anaknya menjadi anak soleh atau anak solehah. Harapannya menghantar anak belajar jauh ke universiti al-Azhar ,Mesir agar pulangnya menjadi seorang pendakwah juga tidak tercapai……

Sehingga jauh di sudut hati tuanya merasa kecewa kerana tidak ada seorang pun anak-anaknya yang dirasakannya mendoakannya ketika dia masih menghirup udara milik Allah apatahlagi selepas dia menutup mata untuk selama-lamanya kelak. Aduh…sedihnya hati makcik itu. Dan saya selalu melihat dia berdoa lama di dewan solat. Tentu doanya tidak lain adalah untuk anak-anaknya jua….

BILA ANAK BELAJAR PENGAJIAN ISLAM

Berapa ramai ibu bapa yang begitu bangga apabila anak-anak mereka masuk ke kolej atau universiti demi mempelajari pengajian Islam. Lebih-lebih lagi apabila mereka belajar jauh hingga ke timur tengah. Kebanyakan ibu bapa sanggup berlapar dan sanggup membanting tulang empat kerat untuk membiayai pembelajaran dan memberi perbelanjaan seharian anak-anak mereka ketika belajar. Mereka bangga dan mereka berbesar hati kerana anak mereka adalah bakal ustaz dan ustazah.Betapa Sejuknya hati mereka…betapa besarnya harapan mereka.

Tetapi apabila anak-anak mereka sudah tamat pengajian dan pulang ke tanah air kemudian anak-anak mereka tidak menjadi seperti apa yang diharapkan, tentu sahaja ada segudang kecewa di hati mereka. Apatah lagi bila anak itu mengatakan “tak minatlah nak mengajar ni semua…” Tentu sahaja KECEWA, seperti hati ibu tua tadi. Saya percaya apa yang diluahkan oleh ibu tua itu mewakili banyak hati ibu bapa yang lain.

PERSOALAN SAYA….

Sejauhmanakah kita sebagai anak-anak berpengajian Islam peka tentang hal itu? Sejauhmanakah kita sebagai anak-anak yang mendalami ilmu-ilmu Islam sedar akan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu?

Ya, saya setuju, tak kan semua orang belajar agama nak jadi ustaz dan ustazah,kan? Apa orang belajar agama ni tak layak ke nak kerja lain? Nanti orang kata kita anak-anak pengajian Islam ni jumud….tak ada potensi untuk perkara lain pula,kan?

Saya tidak menafikan itu. Golongan pengajian Islam juga berhak memilih bidang tugas masing-masing (asalkan ianya bukanlah pekerjaan yang haram). Cuma pernahkah kita terfikir kenapa ada hati ibu bapa yang kecewa? Mengapa masih ada lagi hati ibu bapa yang dirundung malang sedangkan anaknya yang berpengajian Islam (walaupun tidak menceburi bidang pendidikan Islam) sudah mempunyai jawatan yang mantap dan membanggakan?

Tentu sahaja ada sebabnya.

Saya berpandangan bahawa ibu bapa tidak akan kecewa jika anak-anak mereka yang berpengajian Islam memiliki peribadi muslim yang mampu untuk dibanggakan. Mereka tidak akan merasa bahawa mereka tidak mempunyai anak yang soleh atau solehah seandainya anak-anak mereka itu menjaga agama bagai nyawa mereka sendiri. Pada waktu itu, bidang apa pun yang ingin diceburi oleh mereka yang berpengajian Islam tidak akan menjadi masalah bagi ibu bapa. Ini kerana mereka tahu walau anak mereka tidak bergelar ustaz atau ustazah tapi anak mereka tetap ‘berperanan sebagai ustaz dan ustazah’. Iaitu anak mereka sentiasa melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sentiasa memelihara akhlaknya terhadap keluarga (terutamanya terhadap ibu bapanya) dan masyarakat. Dan yang paling penting juga apabila anak mereka sentiasa berpegang teguh pada syariat. Jika sudah begitu keadaanya, saya kira kerisauan dan kekecewaan ibu bapa itu dapat diubati.

DOKTOR JIWA

Saya pernah bertanya pada ustaz saya, ketika saya sedikit tertekan apabila dihujani dengan soalan demi soalan dari para jemaah masjid selepas kuliah Muslimah:

“Jadi ustaz atau ustazah memang kerjanya jawab soalan ke ustaz?”

Ustaz saya menjawab:

“Ye…kerana ustaz dan ustazah adalah doktor jiwa”

Doktor jiwa?

Mungkin atas sebab itu ramai yang tidak mahu menjadi ustaz atau ustazah kerana peranan ‘doktor jiwa’ yang perlu dilaksanakan. Mungkin malas nak melayan soalan-soalan lantaran diri sendiri juga masih mempunyai masalah jiwa. Segalanya mungkin…

Atau mereka tidak yakin dengan ilmu yang mereka pelajari bertahun-tahun. Lalu timbul persoalan di benak saya, untuk apa kita belajar,ya?

Setakat untuk disimpan dalam dirikah?
Setakat untuk menggengggam segulung kertas bernama ijazah?
Setakat untuk mempermudahkan kita mendapat pekerjaan dan sekaligus menaikkan tangga gaji kita?
Ya…saya tidak menafikan semua itu perlu dalam kehidupan dunia pada hari ini.

Namun perlu untuk saya menyatakan pada anda yang sedang dan telah tamat belajar pengajian Islam bahawa Ilmu itu amanah. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan pengalaman di negera orang dan duduk bersama ulamak dan agamawan yang hebat-hebat. Tetapi belajar pengajian Islam memerlukan kesungguhan yang sebenar untuk merubah diri dan membantu masyarakat Islam yang semakin lama semakin amat menyedihkan jiwa dan perasaan apabila ditinjau dan dilihat dengan mata kepala sendiri. Maka di sinilah peranan ‘doktor jiwa’ yang dapat saya lihat. Membantu mereka yang musykil, menenangkan mereka yang resah dan memandu mereka yang bersimpang-siur jalannya ke jalan yang lurus. Ya tugas itu berat ….tapi jika kita sentiasa mengharapkan redha Allah dan bantuan-Nya semuanya akan dipermudahkan.

JIKA DIA IBU ANDA?

Untuk anda yang masih belajar dan telah bergelar graduan pengajian Islam tidak kira di mana pun anda berada dan sedang membaca penulisan ini, ketahuilah besar harapan saya agar anda tidak mengecewakan harapan mereka yang menyokong anda atau dengan kata lain USAH KECEWAKAN HARAPAN IBU BAPA ANDA.

Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Pulanglah dengan niat untuk menyebarkan ilmu yang telah anda pelajari dengan penuh amanah.

Jadikanlah ia sebuah medan perjuangan untuk memartabatkan al-Quran dan al-Sunnah. Medan untuk anda merasa sakitnya dakwah dan manisnya ibadah.

Dan jangan lupa tidaklah dinamakan sesuatu itu perjuangan, andai kamu melaluinya dengan mudah.

Tidaklah jua dinamakannya perjuangan, andai kamu menginginkan yang senang-senang dan yang hebat-hebat begitu juga pujian dari orang ramai.

Tinggi mana pun kamu berada kelak, jangan lupa pada tanah yang dipijak
Usah mendabik dada dan hanya memandang ke langit
Sedarlah…
Apa yang ada padamu adalah milik Allah
Apa yang ada padamu adalah amanah
Ilmu itu amanah yang pastinya akan dipersoalkan kelak.

Sungguh…
Airmata saya mengalir…mengalir deras sekali
Jiwa saya terlalu sebak
Apabila saya membayangkan jika apa yang diluahkan oleh makcik itu adalah LUAHAN IBU SAYA SENDIRI….
Tidak sanggup saya, Ya Allah….
Saya tidak sanggup apabila ibu saya mencari orang lain dan meminta agar mendoakan untuknya kerana merasakan bahawa saya bukanlah anak solehah yang mampu untuk mendoakannya dunia dan akhirat…
Saya tidak sanggup!


Dan Anda pula bagaimana wahai diri yang sedang belajar dan telah bergelar graduan pengajian Islam?

Tanyakan-tanyakan pada diri anda, apakah perasaan anda jika ibu tua itu adalah ibu anda…

Wallahua’lam

Bicara Kasih Sakinah Saptu (www.umairah-sh.blogspot.com)