I made this widget at MyFlashFetish.com.

Photobucket

Selasa, 4 November 2008

Salam Imtihan Untuk Semua

Moga coretan saya ini mampu menjadi pembakar semangat untuk anda di musim peperiksaan ini. Saya doakan yang terbaik untuk semua. Apapun "SEGALANYA BERMULA DARI DIRI KITA" =)
Bit taufiq wannajah!

************************************
Hari ini masa saya ‘terbang’ lagi…

mmm…tinggal dua hari sahaja saya akan pulang ke bumi UKM, tetapi saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk peperiksaan.

Bukan kehendak saya. Kesihatan saya amat tidak mengizinkan saya untuk duduk setia menelaah kitab-kitab yang saya bawa dari UKM. Tapi belajar, tetap belajar. Saya paksa juga diri saya menelaah Nota dan buku Kajian Perbandingan Kitab Hadith, walau kadangkala terhenti-henti. Apabila saya tidak tahan, saya baring sebentar di atas katil, kemudian saya sambung lagi duduk diatas karpet bilik saya yang berselerak dengan kertas dan buku-buku. Tidak tahan dengan keadaan yang asyik baring dan duduk itu, akhirnya saya membuat keputusan mengalihkan semua bahan-bahan bacaan saya diatas katil queen size saya. Jadinya saya belajar sambil berbaring, tetapi akhirnya saya terlelap hingga jam 5.30 petang tadi!.Ya Allah…saya gagal lagi hari ini. Inilah dugaan saya. Semester ini saya agak slow sedikit dalam mengulangkaji pelajaran saya. Berat sungguh saya rasakan beban ini .

Sambung Belajar

Dalam saya cuba mengalihkan mata saya sekali lagi kepada nota-nota bacaan saya, terlintas dalam pemikiran saya kenapa saya sanggup belajar lagi. BELAJAR. Belajar dilihat sebagai satu perkara yang positif, menjana keilmuan diri manusia dan memperlihatkan betap tingginya keazaman seseorang untuk menghadapinya. Namun, ia juga dilihat sebagai satu perkara berat dan sukar untuk dipikul oleh seseorang. Macam saya pernah katakan pada post yang lalu bahawa peperiksaan cukup menyusahkan hidup saya. Maknanya belajar sebenarnya boleh menyusahkan hidup seseorang. Atas sebab itu, apabila saya mengambil keputusan untuk menyambung lagi pengajian saya setelah agak setahun lebih saya meninggalkannya, ramai yang terkejut. Lebih-lebih lagi pada waktu itu saya sudah berstatus isteri. Perjuangan saya agak cukup mencabar. Saya perlu meninggalkan suami saya yang baru setahun melayari bahtera rumahtangga bersama dan Saya perlu tinggalkan juga mak dan abah saya, yang sebenarnya banyak bergantung harap pada saya. Pahit dan perit. Itulah yang saya rasakan. Tetapi jika saya ikutkan keperitan dan kepahitan itu sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat mempertingkatkan diri saya.

Keputusan Peperiksaan Yang Pertama

Saya juga selalu berfikir kenapalah saya perlu menyusahkan diri saya, sedangkan saya sudah boleh hidup dengan senang disisi suami saya, mentelah lagi saya sudah mempunyai pekerjaan yang boleh menjamin keselesaan hidup saya dan keluarga. Bukankah lebih baik jika saya meneruskan kehidupan saya seperti 2 tahun yang lalu?tak perlulah saya berpenat-penat memerah otak dan stress dengan assignment dan exam.
Saya masih ingat lagi saat-saat awal saya menjadi pelajar universiti.Pada mulanya saya agak terkejut bila kembali ke dunia belajar. Saya amat tertekan.
Walaupun pada waktu itu, saya berusaha sedaya upaya saya untuk melakukan yang terbaik, saya tidak pernah mengharap untuk menjadi yang terbaik kerana saya faham bahawa saya mempunyai ramai saingan yang hebat-hebat. Mana mungkin saya mampu bersaing dengan mereka-mereka yang baru sahaja tamat STPM, STAM dan diploma. Ilmu mereka masih panas lagi. Sedangkan saya? Saya sudah terlalu lama meninggalkan ilmu-ilmu saya. Banyak perkara yang saya perlu ‘aktif’kan kembali. Tetapi, keputusan peperiksaan saya pada semester pertama tahun satu agak memeranjatkan saya. Malah bukan saya sahaja tetapi suami saya. Apabila saya mengkhabarkan padanya melalui telefon bahawa saya mendapat 8A 1B, apa yang terpantul di bibirnya adalah

“bedeklah! (bohong, lah!)”

ehheeh…apabila saya mengarahkan dia sendiri yang memeriksa keputusan peperiksaan saya melalui laman web UKM, barulah suami saya percaya.

Sokongan Dan Dorongan

Daripada situ, saya berjaya membuktikan kepada suami saya bahawa saya memang benar-benar ‘boleh belajar lagi’ dan daripada keputusan peperiksaan yang pertama itulah telah menjadikan suami saya menjadi pendorong utama dan pertama sewaktu saya akan menghadapi peperiksaan. Kadang-kadang saya rasa ,saya seperti anak-anak sekolah menengah yang sering diingatkan bahawa saya perlu belajar sebab exam sudah tidak lama lagi!.Setiap kali pulang daripada kerja, suami saya akan bertanya “tadi study tak?”.hehe..itulah suami saya.




Dorongan dan sokongan itu penting sebenarnya. Namun, sebanyak mana kita didorong dan disokong, tetapi kita tidak mahu menjadikan dorongan dan sokongan itu sebagai kunci untuk melangkah lebih jauh pun tidak ada gunanya. Segalanya terpulang pada diri kita. Kalau kita hendak….kita pasti lakukan yang terbaik.kalau kita tak nak…buat macam manapun..tentu tidak akan menjadi.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantu kita…melainkan kita sendiri. Kalau boleh kita ingin sekali ada orang yang boleh membantu kita untuk menduduki peperiksaan ,tetapi itu adalah mustahil. Kita jugalah, yang perlu menduduki peperiksaan itu, bukan orang lain. Dengan itu, kita jugalah yang akan membentuk masa hadapan kita bukan orang lain. Orang lain hanya boleh menjadi pendorong dan penyokong kita tetapi untuk merealisasikannya adalah diri kita sendiri.

DIRI KITA adalah pendorong utama kita untuk mencapai kejayaan. Jangan hanya bergantung pada sesuatu yang ‘sederhana’ sahaja atau 'ala kadar' sahaja kerana kita orang melayu jangan melayukan diri kita. Kita perlu tanamkan dalam diri, bahawa kita adalah MELAYU MUSLIM, dan seharusnya melayu muslim perlu lebih cemerlang dari yang lain. Saya teringat kata-kata ketua pustakawan kepada seorang rakan saya yang menerima anugerah pencinta ilmu, katanya:

“Kalau di FPI (Fakukti Pengajian Islam) ada orang cina, saya rasa orang cina jugalah yang akan menerima anugerah ini”

Saya tersenyum lalu melihat senarai nama penerima anugerah. Memang benar, hanya 4 orang sahaja pelajar melayu yang mendapat anugerah tersebut, yang selebihnya adalah pelajar cina.Saya tersenyum lagi lalu berkata pada diri, “saya melayu tetapi tidak melayu kerana saya melayu muslim yang ingin sentiasa menjadikan agama saya sebagai panduan hidup saya”

Ketahuilah seorang muslim itu, perlu menjadi umat nabi Muhammad s.a.w yang berusaha untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.Tetapi kadangkala sering berlaku, mereka yang hanya mementingkan salah satu diantaranya. Sedangkan keduanya itu berjalan serentak.

Kita ingin berjaya?
Segalanya bermula dengan diri kita..bukan orang lain.

(Penulisan ini telah dimuatkan di dalam blog umairah-sh bertarikh 24 Oktober 2007)