I made this widget at MyFlashFetish.com.

Photobucket

Isnin, 15 September 2008

Jika Ibu Tua Itu Ibu Anda



PERTEMUAN PERTAMA

“Doakan makcik,ye ustazah. Doakan,ye?”, tangan saya digenggamnya erat. Wajah sayunya merenung saya dengan penuh harapan. Saya menghadiahkannya dengan senyuman dan menganggukkan kepala saya.

Kemudian dia berlalu pergi ke saf pertama dewan solat wanita lalu mengangkat takbir untuk bersolat sunat. Saya sebenarnya masih kehairanan. Mengapa begitu sekali?. Mmmm…mungkin kami baru sahaja selesai bertadarus bersama dan mungkin ada perkara yang telah menerjah ke fikirannya.

PERTEMUAN KELIMA

Bacaan al-Qurannya merangkak-rangkak. Kadangkala dia sendiri tidak begitu pasti dengan bacaannya walaupun sebenarnya apa yang dibacanya adalah betul. Tetapi saya selalu mengatakan:

“Tak pe,cik. Teruskan…..”

Apa yang saya kagumi adalah semangatnya untuk terus bersama-sama dengan yang lain mengalunkan ayat-ayat al-Quran walaupun dia mengetahui bacaanya tidak berapa lancar. Ditolak tepi perasaan malu dan diletakkan di hadapannya keinginan untuk terus mengaji al-Quran dan merebut pahala. Subhanallah!

Semasa saya sedang sibuk mengagihkan bubur Ramadhan di dewan solat wanita selepas solat asar. Dia datang menghampiri saya. Saya seperti biasa menghadiahkannya dengan senyuman saya.

“Nak bubur,cik? Cik nak berapa?”, tanya saya kepadanya.

“Eh,cik tak nak bubur. Cik nak salam ustazah. Cik nak balik ni. Nanti amik bubur tak de orang nak makan kat rumah”, jelasnya. Salaman tangannya masih kuat menggenggam erat jari-jemari saya, lalu dia berkata:

“Ustazah, betul tadi ustazah cakap. Kita kena bersyukur Allah beri kelapangan pada kita datang masjid, mengaji al-Quran. Ni cik dah tua-tua macam ni, baru ada kesempatan. Alhamdulillah”, selepas tadarus saya ada memberikan sedikit tazkirah berdasarkan beberapa ayat al-Quran yang kami baca sebelum itu.

Saya senyum dan mengangguk-anggukkan kepala saya.

“ Saya nak ada anak soleh yang boleh mendoakan saya. Tapi sorang pun anak-anak saya tak ada yang menjadi. Anak cik sorang baru balik azhar (universiti al-Azhar,Mesir) tapi balik dia tak minat nak mengajar. Dia masuk bidang lain, kerja kat bank pulak. Dia jelah yang cik harap, tapi jadi macam ni pulak. Cik Kecewa sangat”, luahnya tanpa saya minta.

“Cik, jangan cakap kecewa,cik. Doalah lah banyak-banyak”, saya cuba menenangkan perasaan seorang tua yang terlalu kecewa.

“Cik bukan apa. Cik sedih. Dia lah sorang yang cik harapkan. Cik nak anak cik jadi ustazah, mengajar. Jadi macam ustazah ni. Boleh doakan cik. Ni balik-balik cik jugak yang membebel kat dia. Sedih hati,cik”

“Insya Allah, cik. Tentu anak cik doakan untuk cik juga. Mungkin cik tak tahu.”, saya menyedapkan hatinya.

“Doakanlah untuk anak cik, ustazah. Doakan dia dapat suami baik yang ingat akhirat. Dia susah lah, pakai pun nak fesyen-fesyen. Cik sayang, ilmu dia belajar kat azhar tak ke mana. Sayang ilmu dia, belajar jauh-jauh tapi tak sebarkan kat orang. Doakan untuk cik, ye?” genggaman salamnya yang masih kemas semakin kuat saya rasakan.

“Insya Allah, cik. Cik doalah banyak-banyak. Doa seorang ibu itu makbul,cik.”, pesan saya padanya.

KECEWA

“Cik Kecewa sangat”

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Wajahnya yang sayu juga masih lagi terbayang di mata saya. Genggaman tanganya pula masih hangat saya rasakan hingga kini. Dapat saya rasakan harapannya walaupun sudah meniti usia senja masih lagi belum tercapai. Harapan untuk melihat salah seorang anaknya menjadi anak soleh atau anak solehah. Harapannya menghantar anak belajar jauh ke universiti al-Azhar ,Mesir agar pulangnya menjadi seorang pendakwah juga tidak tercapai……

Sehingga jauh di sudut hati tuanya merasa kecewa kerana tidak ada seorang pun anak-anaknya yang dirasakannya mendoakannya ketika dia masih menghirup udara milik Allah apatahlagi selepas dia menutup mata untuk selama-lamanya kelak. Aduh…sedihnya hati makcik itu. Dan saya selalu melihat dia berdoa lama di dewan solat. Tentu doanya tidak lain adalah untuk anak-anaknya jua….

BILA ANAK BELAJAR PENGAJIAN ISLAM

Berapa ramai ibu bapa yang begitu bangga apabila anak-anak mereka masuk ke kolej atau universiti demi mempelajari pengajian Islam. Lebih-lebih lagi apabila mereka belajar jauh hingga ke timur tengah. Kebanyakan ibu bapa sanggup berlapar dan sanggup membanting tulang empat kerat untuk membiayai pembelajaran dan memberi perbelanjaan seharian anak-anak mereka ketika belajar. Mereka bangga dan mereka berbesar hati kerana anak mereka adalah bakal ustaz dan ustazah.Betapa Sejuknya hati mereka…betapa besarnya harapan mereka.

Tetapi apabila anak-anak mereka sudah tamat pengajian dan pulang ke tanah air kemudian anak-anak mereka tidak menjadi seperti apa yang diharapkan, tentu sahaja ada segudang kecewa di hati mereka. Apatah lagi bila anak itu mengatakan “tak minatlah nak mengajar ni semua…” Tentu sahaja KECEWA, seperti hati ibu tua tadi. Saya percaya apa yang diluahkan oleh ibu tua itu mewakili banyak hati ibu bapa yang lain.

PERSOALAN SAYA….

Sejauhmanakah kita sebagai anak-anak berpengajian Islam peka tentang hal itu? Sejauhmanakah kita sebagai anak-anak yang mendalami ilmu-ilmu Islam sedar akan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu?

Ya, saya setuju, tak kan semua orang belajar agama nak jadi ustaz dan ustazah,kan? Apa orang belajar agama ni tak layak ke nak kerja lain? Nanti orang kata kita anak-anak pengajian Islam ni jumud….tak ada potensi untuk perkara lain pula,kan?

Saya tidak menafikan itu. Golongan pengajian Islam juga berhak memilih bidang tugas masing-masing (asalkan ianya bukanlah pekerjaan yang haram). Cuma pernahkah kita terfikir kenapa ada hati ibu bapa yang kecewa? Mengapa masih ada lagi hati ibu bapa yang dirundung malang sedangkan anaknya yang berpengajian Islam (walaupun tidak menceburi bidang pendidikan Islam) sudah mempunyai jawatan yang mantap dan membanggakan?

Tentu sahaja ada sebabnya.

Saya berpandangan bahawa ibu bapa tidak akan kecewa jika anak-anak mereka yang berpengajian Islam memiliki peribadi muslim yang mampu untuk dibanggakan. Mereka tidak akan merasa bahawa mereka tidak mempunyai anak yang soleh atau solehah seandainya anak-anak mereka itu menjaga agama bagai nyawa mereka sendiri. Pada waktu itu, bidang apa pun yang ingin diceburi oleh mereka yang berpengajian Islam tidak akan menjadi masalah bagi ibu bapa. Ini kerana mereka tahu walau anak mereka tidak bergelar ustaz atau ustazah tapi anak mereka tetap ‘berperanan sebagai ustaz dan ustazah’. Iaitu anak mereka sentiasa melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sentiasa memelihara akhlaknya terhadap keluarga (terutamanya terhadap ibu bapanya) dan masyarakat. Dan yang paling penting juga apabila anak mereka sentiasa berpegang teguh pada syariat. Jika sudah begitu keadaanya, saya kira kerisauan dan kekecewaan ibu bapa itu dapat diubati.

DOKTOR JIWA

Saya pernah bertanya pada ustaz saya, ketika saya sedikit tertekan apabila dihujani dengan soalan demi soalan dari para jemaah masjid selepas kuliah Muslimah:

“Jadi ustaz atau ustazah memang kerjanya jawab soalan ke ustaz?”

Ustaz saya menjawab:

“Ye…kerana ustaz dan ustazah adalah doktor jiwa”

Doktor jiwa?

Mungkin atas sebab itu ramai yang tidak mahu menjadi ustaz atau ustazah kerana peranan ‘doktor jiwa’ yang perlu dilaksanakan. Mungkin malas nak melayan soalan-soalan lantaran diri sendiri juga masih mempunyai masalah jiwa. Segalanya mungkin…

Atau mereka tidak yakin dengan ilmu yang mereka pelajari bertahun-tahun. Lalu timbul persoalan di benak saya, untuk apa kita belajar,ya?

Setakat untuk disimpan dalam dirikah?
Setakat untuk menggengggam segulung kertas bernama ijazah?
Setakat untuk mempermudahkan kita mendapat pekerjaan dan sekaligus menaikkan tangga gaji kita?
Ya…saya tidak menafikan semua itu perlu dalam kehidupan dunia pada hari ini.

Namun perlu untuk saya menyatakan pada anda yang sedang dan telah tamat belajar pengajian Islam bahawa Ilmu itu amanah. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan pengalaman di negera orang dan duduk bersama ulamak dan agamawan yang hebat-hebat. Tetapi belajar pengajian Islam memerlukan kesungguhan yang sebenar untuk merubah diri dan membantu masyarakat Islam yang semakin lama semakin amat menyedihkan jiwa dan perasaan apabila ditinjau dan dilihat dengan mata kepala sendiri. Maka di sinilah peranan ‘doktor jiwa’ yang dapat saya lihat. Membantu mereka yang musykil, menenangkan mereka yang resah dan memandu mereka yang bersimpang-siur jalannya ke jalan yang lurus. Ya tugas itu berat ….tapi jika kita sentiasa mengharapkan redha Allah dan bantuan-Nya semuanya akan dipermudahkan.

JIKA DIA IBU ANDA?

Untuk anda yang masih belajar dan telah bergelar graduan pengajian Islam tidak kira di mana pun anda berada dan sedang membaca penulisan ini, ketahuilah besar harapan saya agar anda tidak mengecewakan harapan mereka yang menyokong anda atau dengan kata lain USAH KECEWAKAN HARAPAN IBU BAPA ANDA.

Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Pulanglah dengan niat untuk menyebarkan ilmu yang telah anda pelajari dengan penuh amanah.

Jadikanlah ia sebuah medan perjuangan untuk memartabatkan al-Quran dan al-Sunnah. Medan untuk anda merasa sakitnya dakwah dan manisnya ibadah.

Dan jangan lupa tidaklah dinamakan sesuatu itu perjuangan, andai kamu melaluinya dengan mudah.

Tidaklah jua dinamakannya perjuangan, andai kamu menginginkan yang senang-senang dan yang hebat-hebat begitu juga pujian dari orang ramai.

Tinggi mana pun kamu berada kelak, jangan lupa pada tanah yang dipijak
Usah mendabik dada dan hanya memandang ke langit
Sedarlah…
Apa yang ada padamu adalah milik Allah
Apa yang ada padamu adalah amanah
Ilmu itu amanah yang pastinya akan dipersoalkan kelak.

Sungguh…
Airmata saya mengalir…mengalir deras sekali
Jiwa saya terlalu sebak
Apabila saya membayangkan jika apa yang diluahkan oleh makcik itu adalah LUAHAN IBU SAYA SENDIRI….
Tidak sanggup saya, Ya Allah….
Saya tidak sanggup apabila ibu saya mencari orang lain dan meminta agar mendoakan untuknya kerana merasakan bahawa saya bukanlah anak solehah yang mampu untuk mendoakannya dunia dan akhirat…
Saya tidak sanggup!


Dan Anda pula bagaimana wahai diri yang sedang belajar dan telah bergelar graduan pengajian Islam?

Tanyakan-tanyakan pada diri anda, apakah perasaan anda jika ibu tua itu adalah ibu anda…

Wallahua’lam

Bicara Kasih Sakinah Saptu (www.umairah-sh.blogspot.com)