Salam Ramadhan kepada semua. Moga Ramadhan kali ini dilalui dengan penuh ibadah dan lebih baik dari sebelumnya. Apabila Ramadhan tiba, saya teringatkan peristiwa Ramadhan tahun lalu. Peristiwa yang membuatkan saya menangis sendirian penuh kehibaan di dalam bilik Kolej Ungku Omar....lalu saya bangkit dan duduk di hadapan komputer menaip luahan rasa...Moga apa yang saya luahkan dapat menjadi renungan yang bukan sekadar untuk direnung semata....
Sakinah Saptu
**********************************
Kumulakan dengan seindah kalam
بسم الله الرحمن الرحيم
Entah mengapa aku ingin bersendirian pada malam ini. Ajakan seorang adik untuk berterawih secara berjamaah pada malam pertama Ramadhan ini kutolak lembut. Aku berkata dalam hati, aku ingin bersendirian. Setelah selesai solat isyak dan terawihku, setelah selesai tugasan tutorial untuk dibentang esok, akhirnya, jari jemari ini bertemankan hati yang tidak seperti hari-hari biasa, mengajak aku untuk meluahkan bicara yang tersimpan kemas di dalam jiwa.
Aku ingin berbicara….
Walaupun hati dan fikiran ini terlalu runsing dengan memikirkan nota dan buku-buku yang perlu diulangkaji, hati ini tetap berdegil untuk berbicara. Kerana apa yang ada di dalam hati ini adalah suaraku. Apa yang ada pada suaraku selalunya adalah harapanku…harapan yang bukan harapan biasa, tetapi ia tetap harapan yang bagiku cukup istimewa. Mengapa aku katakan ia sebagai harapan? kerana harapan seringkali mempunyai dua kemungkinan. Samada ia boleh menjadi kenyataan ataupun ia boleh menjadi harapan tinggal harapan…
Hatiku menangis…jam 7 malam.
Mengingatkan aku pada fenomena aku masih lagi anak-anak ingusan, anak-anak yang tidak kenal erti apa itu ibadah dan kewajipan, anak-anak yang masih lagi inginkan hiburan sebagai teman. Pada zaman itu, jam 7 malam selalunya tanyangan Doraemon di RTM 1 (Tidak silap aku pada setiap hari sabtu). Rancangan kartun popular kegemaran kanak-kanak…siapa yang tidak kenal pada Doraemon. Walaupun aku turut menonton kartun tersebut,emak selalu mengingatkan : “Maghrib..maghrib!” Abah pula selalu ingatkan: “dah nak maghrib” Aku tidak mnegerti waktu itu, yang aku tahu mak dan abah ingatkan, jangan lupa solat maghrib kerana menonton cerita kartun yang tidak ada faedah itu. Tetapi, semakin aku membesar sebagai anak gadis yang berpendidikan madrasah, aku semakin mengerti. Rupanya arahan itu, adalah arahan agar aku ihtiram pada waktu maghrib, bersedia dengan wudu’ di sejadah, mengaji al-Quran dan bersedia untuk menghadap Tuhan. Itu bukan satu yang ada nasnya, tetapi itu adalah didikan mak dan abah agar kami adik-beradik tahu menghormati waktu maghrib. (Mengapa maghrib itu amat dititik beratkan oleh emak dan abah, aku tidak pasti. Mungkin bagi mereka itu adalah waktu peralihan dari petang ke malam, waktu yang semua perlu duduk dalam rumah bersama keluarga.Atau macam orang tua-tua kata: waktu setan suka berkeliaran)
Tapi …7 malam di sini, membuat hatiku benar-benar terguris…membuat hatiku dihujani gerimis…suara tawa berdekah-dekah kedengaran…suara jeritan bergurau senda menghilangkan keheningan….suara televisyen dari DRAMA terasa seperti berada dihujung telingaku walau aku berada di tingkat dua bangunan!!! Apa yang membuatkan aku lebih…lebih…ingin menangis..malam ini adalah malam 1 Ramadhan bulan penuh keberkatan dan keampunan. Beginikah caranya anak-anak Islam menghormati maghrib…beginikah caranya anak-anak Islam menghayati Ramadhan?
Suasana..jam 7 malam itulah yang mengingatkan aku pada rumah, pada zaman kanak-kanak, pada zaman di sekolah menengah dan pada zaman tarbiyah di Maahad Tahfiz Melaka. Paling berkesan di jiwa ku ialah pentarbiyahan di maahad Tahfiz. Hinggakan ada seorang adik berkata padaku: “Kalau ingat apa-apa, mesti ingat maahad. Tak de tempat lain ke? Sekolah menengah ke?”
Aku ulangi sekali lagi..maahad paling berkesan! Di situ, hati dilentur untuk menjadi manusia yang menangis kerana Tuhan, hati lembut untuk berlumba-lumba melaksanakan kebaikan, ada ta’lim dan tazkirah..ada solat berjamaah. Di situlah, bila hampir masuk maghrib, ramai yang mandi di bilik air, ramai yang bergegas untuk bersiap-siap solat maghrib. Bila maghrib tiba…ada laungan dari akhawat yang sudah bersiap-siap dengan telekong memanggil kami.. “solat jamaah..solat jamaah”, “mana imamah ni?” jika sekiranya aku yang menjadi imam “eh..banat cepatlah…imamah dah tunggu ni!” Kelihatan…ada yang bergegas ke surau..ada yang jerit…”tunggu…nak amik wudhu’” ada pula yang senyum-senyum masih membuat pertimbangan nak jemaah atau tidak.
Aku rindu suasana itu. Rindu pada malam Qiyamullail kami. Rindu untuk mendengar tangisan dan esakan yang menangis kerana berdo’a kepada Allah. Rindu pada do’a-doa akhawat yang mampu memecahkan tembok keegoan kami hingga mengalirkan air mata yang amat deras bagai tiada henti…rindu pada rintihan doa-doa yang mampu menggegarkan jiwa! Doa-doa yang mampu menginsafkan diri betapa kami adalah manusia kerdil yang seringkali tidak mengenang budi! Rindu…
Akhirnya aku mengalirkan air mata jua. Saat aku menaip ini airmataku mengalir…harapanku untuk mengubat rindu ini, entah bila…
Sukar untuk kudapatkan bi’ah itu di sini. Aku tidak mahu memandang yang jauh-jauh…jika sikap sebahagian pelajar pengajian Islam sendiri sudah mampu membuatkan aku bergusar hati dan menangis hiba…apatah lagi yang bukan pelajar pengajian Islam…
Sering aku berkata dalam diri, jika yang berpengajian Islam sendiri tidak mahu mengubah diri yang masih lemah dalam pembacan al-Quran secara bertajwid, bagaimana nak sebarkan Islam…
Atas tujuan apa kita melabelkan diri kita sebagai pelajar PENGAJIAN ISLAM?
Mungkin ramai yang menjawab "sebab saya tidak ada pilihan…".
Jika begitulah…sampai bila-bila pun anak-anak Islam masih hanyut dengan hiburan
Sampai bila-bila pun, anak-anak Islam akan meremehkan agama dan suruhan Tuhan
Kerana kita salah satu di antaranya..
Kerana kita yang mengetahui hukum..turut sama memegang bendera cinta pada mungkar…jauh pada ma’ruf…
Kita tidak suka pada amalan-amalan sunat, kita jauhkan hati untuk mendengar tazkirah dan menempatkan diri dalam majlis ilmu, kita malas nak rebut pahala…
Kita lebih suka yang relax-relax, yang happy-happy….
Benarlah…kita berada di akhir zaman….zaman penuh fitnah….zaman penuh kemungkaran…
Ya Allah..kuatkanlah aku...
(Luahan rasa di 1 Ramadhan 1428H)
Tinta Kasih umairah-sh at Thursday, September 13, 2007
|
Sabtu, 30 Ogos 2008
Jam 7 Malam di 1 Ramadhan...
Label: Kampus UKM
Jumaat, 22 Ogos 2008
Rabu, 20 Ogos 2008
ganjaran bagi perempuan yang berpakaian telanjang
Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadis riwayat Baihaqi)
Khamis, 14 Ogos 2008
ISLAM DICABAR : DIMANAKAH MAHASISWA ISLAM???
Assalamualaikum w.b.r.t , alhamdulillah di kesempatan ini marilah kita sama-sama merafatkan kesyukuran kehadrat Ilahi diatas pengurniaan nikmatnya yang besar iaitu nikmat iman dan Islam, puji-pujian kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, para sahabat, para tabien serta seluruh umat Islam. InsyaAllah melalui ruangan ini saya ingin mengupas mengenai kedudukan Islam di negara kita ini yang mana dari hari ke hari semakin di cabar oleh musuh-musuh Islam. Dewasa kini, kedudukan Islam semakin tergugat dan tercemar. Pelbagai fitnah dan tohmahan telah dilemparkan kepada Islam seperti pengganas, perosak masyarakat, menyekat kebebasan masyarakat dan pelbagai lagi yang lebih teruk daripada itu.
Dalam konteks negara kita juga tidak terkecuali menerima tempias daripada keadaan tersebut. Pelbagai aktiviti dan kes-kes yang berlaku di Negara kita yang cuba mengugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara kita. Terbaru, cubaan Majlis Peguam yang cuba mengadakan Forum Memeluk Islam. Walaupun forum ini berjaya diadakan tetapi atas desakan pelbagai sehingga menimbulkan kekecohan, akhirnya forum ini terpaksa dihentikan 3 jam lebih awal daripada jadual. Apa yang saya ingin sentuh disini apakah peranan kita sebagai mahasiswa Islam yang diwar-warkan sebagai pelapis kepada pimpinan Negara di masa depan dalam menghadapi suasana ini. Apa yang menjadi persoalan apakah peranan mahasiswa Islam dalam mendepani masalah ini. Adakah sudah memadai sekadar kita hadir semasa bantahan terhadap forum tersebut untuk menunjukkan sensitiviti terhadap isu ini. Lebih teruk ada sesetengah mahasiswa Islam yang tidak tahu langsung atau tidak ingin tahu mengenai isu ini. Sehingga ada yang mendakwa mahasiswa sekarang adalah “mahasiswa lesu”. Dimanakah peranan kita??? Apakah persediaan kita??? Kita jangan hanya hebat dalam berkata-kata sedangkan pelaksanaan kita masih gagal. Ingatlah sahabat-sahabat sekalian masyarakat sedang memerhati kita, apakah mahasiswa Islam sensitif terhadap isu ini. Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah untuk merendahkan kedudukan mahasiswa Islam tetapi sekadar peringatan dan pendorong semangat agar lebih komited dalam mempertahankan kedudukan Islam di Negara kita khususnya dan seluruh dunia amnya. Wassalam ……. MAHASISWA ISLAM UKM
Khamis, 7 Ogos 2008
KITAB MUNTAKHAB AL-KALAM FI TAFSIR AL-AHLAM
Oleh Sakinah Saptu
PENGENALAN
Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam yang dinisbahkan kepada Abu Bakar Muhammad Ibn Sirin mengandungi 59 bab yang membincangkan mengenai ta’bir mimpi sama ada mimpi itu adalah mimpi yang buruk ataupun mimpi yang baik. Ia disusun bab demi bab dimulai dengan bab seorang hamba melihat dirinya di tangan Allah s.w.t di dalam tidurnya dan di akhiri dengan bab menyebut kisah-kisah mimpi sebahagian orang-orang saleh r.a.
Kitab ini dimulai dengan mukaddimah kitab kemudian diikuti dengan khutbah kitab. Perkara-perkara yang dibahaskan di dalam mukaddimah kitab ialah:
1- Ta’bir mimpi yang pelbagai
2- Kaedah umum dalam menta’bir mimpi
2.1 Adab ta’bir mimpi
2.2 Waktu dalam menta’bir mimpi
2.3 Mimpi yang boleh dipercayai
2.4 Beberapa prinsip penta’bir dalam menta’bir mimpi
2.5 Mentafsir mimpi berdasarkan watak, waktu dan kebiasaan
3- Kedudukan roh dan jiwa dalam mimpi
4- Mentafsir mimpi dengan Nama, makna dan peribahasa yang sering dipakai
5- Mimpi yang paling benar
6- Perkara yang perlu dilakukan ketika bermimpi sesuatu yang tidak disukai (mimpi buruk)
Manakala di dalam khutbah kitab pula ia membincangkan mengenai perkara-perkara berikut:
1- Hakikat mimpi dalam ilmu syariat
2- Hal-hal yang diperlukan oleh orang yang bermimpi untuk membuktikan kebenaran mimpinya
3- Dua jenis mimpi yang hak dan yang batil
4- Adab penta’bir mimpi
Abd al-Rahman al-Juzu menyatakan di dalam kitab tahqiqnya bahawa manuskrip kitab ini terdapat di Dar-al-Kutub, Mesir dan Iskandariah. Kitab ini juga telah di cetak di Bulaq pada tahun 1284H dan pada tahun yang sama juga ia telah dijadikan sebagai هامش (catatan ditepi kitab) untuk kitab Ta’thir al-Anam oleh al-Nablusi yang mana telah diulang cetak beberapa kali di Lucknow pada tahun 1874M dan di Bombay pada tahun 1296H. Kitab ini juga telah diulang cetak dengan versi yang baru (disusun semula untuk memudahkan pembacaan) dan diterbitkan oleh beberapa penerbit di Beirut, Damsyik dan Kahirah(1). Malah kitab ini juga telah ditahqiq dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia dan kemungkinan juga di dalam bahasa-bahasa yang lain.
MENGAPA IA DIKATAKAN KITAB YANG DINISBAHKAN KEPADA IBN SIRIN
Perlu diketahui bahawa Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam yang dinisbahkan kepada Ibn Sirin adalah nisbah yang salah, malah dengan mengatakan ia sebagai kitab karangan Ibn Sirin juga merupakan satu kenyataan yang silap. Ia sebenarnya adalah karangan Abu Sa’ad (Sa’id) Abd al-Malik al-Wa’iz al-Kharkusyi. Nama kitabnya pula ialah al-Basyarah Wa al-Nadharah. Kesalahan menisbahkan kitab ini kepada Ibn Sirin ataupun mengakui ia adalah hasil karya Ibn Sirin telah diikuti dari zaman ke zaman hinggalah pada hari ini.
Abd Al-Rahman al-Juzu telah menyenaraikan dengan jelas bukti yang menunjukkan bahawa ia bukanlah kitab karangan Ibn Sirin dan ia hanya sebuah kitab yang dinisbahkan kepada beliau itupun dengan nisbah yang salah. Menurut Abd al-Rahman dengan meneliti kitab itu sendiri dapat dilihat tanda-tanda yang jelas bahawa sebahagian atau beberapa bahagian daripada kitab tersebut bukanlah daripada Ibn Sirin. Ini kerana di dalam kitab itu menyebut nama-nama mereka yang lahir, hidup dan juga meninggal dunia selepas Ibn Sirin meninggal dunia dengan jarak masa yang begitu jauh, ataupun di dalam kitab tersebut ada menyatakan kisah-kisah yang berlaku pada zaman selepas Ibn Sirin(2). Di antara contohnya ialah:
1- Di dalam khutbah kitab tersebut sering menyebut nama Abu Sa’id al-Wa’iz, contoh:
قال الأستاذ أبو سعيد الواعظ رضى الله عنه) أما بعد فإنه لما كانت الرؤيا الصحيحة في الأصل المنبئة عن حقائق الأعمال منبهة على عواقب الأمور
Kata-kata ini yang sering disebut di awal kebanyakan perenggan menunjukkan dengan jelas bahawa kitab ini adalah dari hasil himpunan atau penulisan Abu Sa’id al-Wa’iz.
2- Terdapat di dalam khutbah kitab nama-nama berikut:
الأصمعي عن ابن المقدام
اسحاق بن ابراهيم الموصلي
جعفر بن جعفر بن محمد الفريابي
Al-Asma’iy lahir pada tahun 122H, Ishaq al-Musli lahir pada tahun 155H, Ja’far bin Muhammad al-Faryabi pada tahun 257H sedangkan Ibn Sirin meninggal dunia pada tahun 110H. Bagaimana pula Ibn Sirin boleh meletakkan nama mereka di dalam penulisannya sedangkan ketiga orang tersebut belum lagi lahir sewaktu Ibn Sirin masih hidup?
3- Kitab ini meriwayatkan daripada al-Kirmani, al-Salimi dan al-Qairawani. Mereka adalah ulama’ selepas Ibn Sirin. Ishaq al-Kirmani contohnya merupakan ulama’ pada kurun ke empat hijrah manakala al-Salimi adalah di kalangan ulama’ kurun ke lapan hijrah.
4- Di dalam kitab ini juga memuatkan mimpi yang dilihat oleh mereka yang hidup selepas Ibn Sirin, antaranya:
1- Di dalam bab 2:
Daripada Abu al-Wafa’ al-Farisi al-Harawi telah berkata: “Aku telah melihat al-Mustafa s.a.w di dalam tidur di Farghanah pada tahun 360H”.
Teks ini menyatakan bahawa Abu al-Wafa’ telah bermimpi melihat Rasulullah s.a.w di dalam tidurnya pada tahun 360H, sedangkan pada tahun tersebut Ibn Sirin sudah meninggal dunia. Dengan itu, bagaimana kitab ta’bir ini boleh dikatakan salah satu daripada karya Ibn Sirin?.
2- Di dalam bab 23:
“Dan amir al-Mukminin Harun al-Rasyid telah bermimpi…”
Di dalam kitab ini juga menyebut nama Harun al-Rasyid yang lahir pada tahun 149H sedangkan Ibn Sirin meninggal dunia pada tahun 110H.
3- Dalam bab 31:
“Dan diceritakan bahawa Al-Syafi’i r.a bermimpi di dalam penjara seolah-olah dia di salib…”
Di kitab ini juga menyebut nama Imam al-Syafi’i sedangkan beliau lahir pada tahun 150H.
4- Di dalam bab 43:
Abu Ubaidah telah berkata: “Aku bermimpi pelita masjid terpadam, maka Mus’ir bin Kidam telah meninggal dunia…”
Di dalam kitab ini juga menyebut nama Abu Ubaidah yang lahir pada tahun 110H sedangkan pada tahun yang sama Ibn Sirin meninggal dunia dan ia juga menyebut nama Mus’ir bin Kidam yang meninggal dunia pada tahun 152H.
Daripada kenyataan dan contoh-contoh yang dikemukakan oleh Abd al-Rahman al-Juzu, dapat diakui bahawa penisbahan kitab ini kepada Ibn Sirin adalah satu nisbah yang salah kerana kebanyakan daripada isi kandungannya bukanlah daripada Ibn Sirin, apatahlagi setelah dikaji semula kita dapati kitab ini dihasilkan pada jarak masa yang jauh selepas Ibn Sirin, iaitu ia dihasilkan atau dikumpulkan oleh Abu Sa’id al-Wa’iz yang meninggal dunia pada tahun 407H.
Mengenali Pengarang Sebenar Kitab Tafsir Mimpi Ibn Sirin
Beliau ialah Abu Sa’ad (Sa’id) Abd al-Malik bin Abu Uthman Muhammad bin Ibrahim, al-Naisaburiyy al-Wa’iz. Beliau merupakan seorang zuhud yang lebih dikenali dengan nama al-Kharkushi(3).Di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ menyatakan beliau sebagai al-Imam Qudwah dan Syaikh al-Islam.
Al-Kharkushi telah mengarang kitab (دلائل النبوة), kitab (التفسير), kitab (الزهد) dan lain-lain(4). Al-Hakim berkata:
“Sesungguhnya aku tidak melihat (selain al-Kharkushi) yang mengumpul padanya ilmu, zuhud, tawadhu’, menunjuk ke jalan Allah dan kepada kezuhudan di dunia, Allah menambah padanya taufik, dan menggembirakan kami dengan hari-harinya. Sesungguhnya hasil karyanya telah tersebar di kalangan muslimin”(5)
Al-Khatib pula berkata: “Al-Kharkushi adalah seorang yang thiqah, wara’ dan saleh”(6).
Dinyatakan bahawa orang-orang fakir di dalam majlisnya dilayan seperti para pemimpin. Beliau juga membuat kopiah dan menjualnya. Selain daripada itu, beliau juga membina madrasah dan rumah untuk orang sakit lalu mewakafkan keduanya dan mewakafkan sebuah peti besi yang besar berisi buku-buku.
Muhammad bin Ubaidullah al-Sarim berkata: Aku melihat al-Ustaz Abu Sa’ad al-Zahid di Musalla ketika mengimamkan solat Istisqa’, aku mendengarnya berdoa’(7):
إليك جئنا و أنت جئت بنا وليس رب سواك يغنينا
بابك رحب فناؤه كرم تؤوي إلى بابك المساكينا
Ibn ‘Asakir berkata beliau adalah seorang Asy’ari. Beliau meninggal dunia pada bulan Jamadil awal pada tahun 407H.
METODOLOGI PENULISAN
Setiap penulisan buku mempunyai metodologinya yang tersendiri. Metodologi penulisan sebuah buku itu mampu memperlihatkan keistimewaan dan kelemahan yang terdapat pada hasil karya seorang penulis. Untuk metodologi penulisan kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam, pengkaji memberikan perhatian dari sudut gaya bahasanya, keistimewaan dan kelemahannya.
(1)Gaya Bahasa
Kitab ini menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami. Ia tidak menggunakan bahasa sastera yang tinggi. Jika ada pun, ia hanya menggunakan perkataan-perkataan yang agak sukar untuk difahami. Keadaan ini dapat dilihat apabila banyak pentahqiq kitab ini seperti Abd al-Rahman al-Juzu, Yusuf al-Shaikh Muhammad, Saleh Uthman Abd al-Hamid, Samar Muhammad Dahir, dan Zuhair Syafiq al-Kabby tidak mengabaikan dalam memberikan makna atau menjelaskan maksud beberapa perkataan-perkataan yang terdapat di dalam kitab ini, malah ada juga di antara mereka yang hanya menumpukan kepada aspek ini sahaja untuk kitab tahqiq mereka.
Di samping itu pengkaji melihat ia lebih menggunakan teknik straight to the point kepada mimpi-mimpi yang dita’birkan. Tidak ada penerangan yang lebih terperinci diberikan kepada setiap mimpi yang dita’bir. Ia hanya mengemukakan objek ataupun perkara yang dimimpikan lalu memberikan makna mimpi tersebut. Sebagai contoh, di dalam bab 1 menyatakan:
قال الأستاذ أبو سعيد رضي الله عنه : من رأى في منامه كأنه قائم بين يدى الله تعالى و الله تعالى ينظر إليه فإن كان الرائى من الصالحين فرؤياه رؤيا رحمة
Di dalam kenyataan di atas, Abu Sa’id mengatakan sesiapa yang bermimpi di dalam tidurnya seoalah-olah ia berada di hadapan tangan Allah s.w.t dan Allah s.w.t melihatnya dan jika sekiranya yang bermimpi itu adalah di kalangan orang yang saleh maka mimpinya adalah mimpi rahmat. Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh didapati di dalam kitab Muntakhab tentang teknik straight to the point ini.
(2) Keistimewaan
Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam mempunyai banyak keistimewaannya. Ia bukan sekadar sebuah kitab yang memainkan peranannya untuk menta’birkan mimpi, tetapi ia juga banyak membahaskan mengenai ilmu menta’bir mimpi dari sudut syariat. Perbahasan ini seperti mana yang telah disebut oleh pengkaji di dalam pengenalan bab ini boleh didapati di dalam mukaddimah kitab dan khutbah kitabnya(8).
Manakala jika hendak dibandingkan kitab ini dengan Kitab Ta’thir al-Anam Fi Ta’bir al-Manam oleh al-Nablusi dan Kitab al-Isyarat Fi Ilmi al-‘Ibarat oleh Ibn Syahin, kitab Muntakhab lebih mempunyai keistimewaannya. Ini kerana ia sering diutarakan atau dikemukakan sebagai kitab ta’bir mimpi yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah lantaran terdapat ta’biran mimpinya yang disertai bersama ayat al-Quran atau al-hadith(9). Malah bukan itu sahaja, bahkan ianya juga sering memuatkan pendapat-pendapat yang bersanad yang menceritakan mimpi mereka serta maksud daripada mimpi tersebut.
(3) Kelemahan
Abd Rahman al-Juzu menyatakan bahawa walaupun kitab ini dikatakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah, kebanyakan daripadanya tidak mempunyai kaitan langsung dengan apa yang dita’birkan oleh penulis kitab(10). Bahkan melalui pemerhatian pengkaji pula tidak semua ta’bir mimpi disertakan dengan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah, ada juga ta’bir mimpi yang kebanyakannya hanya berdasarkan daripada kata-kata penulis sahaja yang dimulakan dengan ayat ini:
(قال الأستاذ أبو سعيد الواعظ رضى الله عنه)
Perkara ini boleh dikira sebagai perkara yang melemahkan penulisan kitab ini. Tambahan pula, kitab ini juga memuatkan hadith-hadith yang tidak dinyatakan hukum hadithnya.
Kitab ini juga sering membahaskan mengenai perkara yang sama secara berulang-ulang di dalam bab yang berbeza. Ia juga tidak mempunyai penditilan untuk setiap bab yang dikemukakan. Manakala tajuk babnya diletakkan dengan tajuk yang panjang agar setiap inci perkara yang dibahaskan dimuatkan di dalam tajuk-tajuknya.
Dari segi susun aturnya pula, sepertimana kitab-kitab lama yang lain, ia tidak mempunyai perenggan, tanda koma dan noktah.
KESIMPULAN
Melalui perbahasan tadi, dapat dikenalpasti bahawa kitab ini bukanlah hasil karya Ibn Sirin. Hakikatnya ia merupakan sebuah penulisan atau himpunan yang diusahakan oleh al-Kharkushi. Pengkaji berpendapat bahawa perkara ini perlu diambil perhatian oleh setiap penterjemah, pentahqiq dan penyusun kitab muntakhab agar kesilapan ini dapat dijelaskan di dalam hasil kerja mereka sebagai maklumat kepada pembaca kitab ta’bir mimpi yang popular ini.
Keistimewaan kitab ini dilihat dari sudut isinya yang dikatakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith. Kitab ini juga dianggap istimewa kerana ia bukanlah kitab ta’bir mimpi semata tetapi ia turut memuatkan perbahasan yang amat menarik berkenaan ilmu ta’bir mimpi dari sudut syariat. Namun begitu, ia juga tidak lari dari kelemahan-kelemahan (sepertimana yang telah dinyatakan pada perbahasan di atas) sebagai sebuah kitab tua yang dihasilkan beribu tahun dahulu.
_____________________________
(1) Al-Juzu, Abd Al-Rahman, Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam, Dar Maktabah al-Hayah, Beirut, 1995, hlm 20-21.
(2) Ibid, hlm 22.
(3) Kharkushi merupakan sebuah nama jalan yang terdapat di bandar Naisabur.
(4) Al-Dhahabi, Syams al-Din Muhammad bin Ahmad, Siyar A'lam al-Nubala’, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1990, Juz 17, hlm 162.
(5) Ibid.
(6) Ibid.
(7) Ibid.
(8) Rujuk pada bahagian Pengenalan.
(9) Ayat-ayat al-Quran lebih banyak dimuatkan jika dibandingkan dengan al-Hadith.
(10) Al-Juzu, hlm 21.
Nota:
Artikel ini merupakan salah satu bab yang terkandung di dalam Latihan Ilmiah (tesis) penulis bertajuk 'Kajian Hadith Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam Yang Dinisbahkan Kepada Muhammad Ibn Sirin’. Ianya telah disemak oleh Dr Azwira Abd Aziz, pensyarah kanan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah yang bertindak selaku penyelia penulis dalam menghasilkan kajian ini. Semoga maklumat yang terdapat di dalam artikel ini, sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada semua. Sekian Wallahua’lam.
Label: Wadah Ilmu